Monday, October 6, 2008

Perbankan Islam: Risiko lebih mencabar


KUALA LUMPUR 7 Feb. 2007 - Pengurusan risiko dalam perbankan Islam menjadi lebih mencabar hari ini kerana ciri-ciri risikonya yang istimewa dan keperluan bagi mematuhi prinsip-prinsip Syariah.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata meskipun inisiatif Basel II bagi pengenalan risiko kredit, pasaran dan operasi boleh diserap ke dalam perbankan Islam, inisiatif itu perlu dilengkapkan dengan pertimbangan dimensi risiko lain yang terdapat dalam urusniaga kewangan Islam.
Justeru, prasarana pengurusan risiko dalam institusi kewangan Islam perlu mengenal pasti, mengukur, mengawal dan memantau semua risiko khusus dalam urusniaga dan instrumen kewangan Islam.
``Ini bagi memastikan sistem dan kawalan yang efektif dalam pengurusan risiko yang terhasil daripada operasi,'' katanya dalam ucaptama di Persidangan Perbankan Islam Antarabangsa Kedua di sini, hari ini.
Zeti berkata inovasi baru dalam teknologi mustahak terutamanya untuk mengukuhkan potensi bagi mengurus risiko.
Oleh kerana pulangan dalam perbankan Islam tidak menentu dan hanya boleh dipastikan bagi asas ex-post, sistem IT yang dimajukan dengan baik amat diperlukan bagi membolehkan institusi perbankan Islam membuat unjuran pulangan masa depan dengan tujuan mengurangkan tahap tidak menentu dalam pulangan untuk dibayar kepada pendeposit, katanya.
Zeti berkata teknologi baru juga akan membantu mengukuhkan potensi daya saing industri perkhidmatan kewangan Islam.
Sementara itu aspek lain bagi pengurusan risiko adalah industri perbankan Islam perlu membangunkan pasaran derivatif, katanya.
Institusi perbankan Islam, khususnya, perlu mempunyai aset jangka panjang yang besar termasuk gadai janji perumahan dan instrumen kewangan yang dibiayai oleh deposit jangka pendek, yang meningkatkan kematangan padanan antara aset dan liabiliti, katanya.
Justeru, pelbagai rangkaian instrumen pasaran kewangan Islam perlu dibangunkan bagi menyediakan instrumen mengurangkan risiko yang efektif kepada industri, kata Zeti.
Beliau berkata sistem kewangan Islam juga memerlukan pasaran wang dan modal yang lebih cekap bagi memudahkan pengurusan aset, liabiliti dan kecairan yang kukuh oleh institusi kewangan Islam.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan Sukuk al-Ijarah, bagi memenuhi keperluan peserta dalam pasaran wang Islam, katanya. - Bernama